GADONG, Khamis 21 Jan 2021 – Sempena Penubuhan 100 Tahun Pasukan Polis Diraja Brunei, PPDB telah mengendalikan satu forum perdana bertajuk ‘Istiqamah Dalam Menjalankan Tugas Kerana Allah’ bertempat di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Forum pada petang itu dihadiri oleh Yang Mulia Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat majlis. 

Turut hadir Yang Mulia Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, pegawai-pegawai kanan, pegawai, anggota serta kakitangan awam dianggarkan seramai 350 orang hadir bagi menyemarakkan forum berkenaan. 

Dua ahli panel jemputan ialah Yang Mulia Dr Haji Hambali bin Hj Jaili dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Ustaz Haji Fansuri Sharimi @ Mansur bin Mohamad Ali dari Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Pengerusi Forum, Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Sebelum itu, majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong dan seterusnya forum dimulakan dan diikuti dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada ahli panel forum dan diakhiri dengan doa selamat. 

Antara tujuan pelaksanaan forum ini adalah untuk memberi pengetahuan dan percambahan ilmu serta mendidik warga pasukan dalam menjalani kehidupan yang diredhai berdasarkan perspektif Islam. 

Intipati bagi forum tersebut adalah mengenai kepentingan istiqamah yang perlu ditanam dalam diri individu Islam agar sentiasa bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasa ikhlas serta membetulkan niat dalam apa jua pekerjaan bagi meraih reda Allah Subhanahu Wata’ala.

Majlis sedemikian merupakan aktiviti yang diselenggarakan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sempena penubuhan 100 tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei sebagai platform keugamaan dalam menyampaikan nasihat dan iktibar agar dapat menjamin kebahagiaan kehidupan dunia dan akhirat kepada kesemua warga pasukan.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI