JUMAAT, 15 Jan 2021 – Bagi melaksanakan inisiatif dan perancangan strategi pencegahan jenayah bagi keselamatan dan kesejahteraan kampung-kampung, beberapa Balai-balai Polis di seluruh Daerah giat menjalankan program Pengawasan Kejiranan melalui penglibatan aktiviti pendekatan serta rondaan yang dikelolai oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).   

BRUNEI MUARA – Pendekatan ke rumah ketua kampung telah mengongsikan beberapa cadangan dan saling bertukar pendapat mengenai hal ehwal kampung di antara Pemangku Ketua Kampung Lupak Luas / Tarap Bau, Yang Mulia Hj Suhaili bin Hj Moktar bersama Pegawai Menguasa Balai Polis Kg. Ayer, Inspektor Mohd Ali Dzulfikri bin Mohd Taib bersama tiga orang anggota Balai Polis Kg Ayer.   

Pada malam yang berikutnya, ahli PK dari Kg Bakut Berumput dan Kg Saba juga turut serta bersama keanggotaan Balai Polis Pusat BSB dan Balai Polis Kg Ayer menjalankan rondaan pencegahan jenayah di sekitar kawasan di sepanjang laluan jeti dan jambatan. 

Di samping itu, Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat BSB, Yang Mulia Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Siti Munirah bte Pg Hj Damit juga membuat rondaan pencegahan jenayah di bangunan-bangunan pusat membeli-belah di Bandar Seri Begawan, bersama ahli-ahli  PK Kg Belimbing. Turut hadir di rondaan tersebut, Penolong Penguasa Polis (ASP) Normazlina binti Emran daripada Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei yang mensasarkan ke kawasan Bangunan Bumiputera, tapak letak kereta dan kedai-kedai emas.  

Rondaan seterusnya juga dikendalikan bersama Ahli Pengawasan Kejiranan dari Mukim Gadong A yang menumpukan kawasan-kawasan Masjid, rumah-rumah kosong, jalan-jalan gelap dan kawasan kebun sekitar kampung Tungku yang dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampong STKRJ Tungku, Pg Mahmod Fakhrul Razi bin Pg Hamzah.   

TEMBURONG – Pegawai Menguasa Balai Polis Bangar, Inspektor Awg Farez Akmal bin Awg Aliakbar bersama Ketua Kg Labu Estate dan Pmk Penghulu Mukim Labu, Yang Mulia Haji Sulaiman bin Haji Nasir mengaktifkan program PK dengan menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kampung tadahan berkenaan. 

Di sepanjang rondaan yang dijalankan tidak ada menemukan sebarang aktiviti atau perkara-perkara yang mencurigakan yang menyalahi peruntukan undang-undang negara ini.   Inisiatif yang diusahakan ini perlu diteruskan sebagai pendekatan terbaik masyarakat dengan pihak Polis dalam hala tuju melahirkan persekitaran kampung yang aman dan selamat. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI