BRUNEI MUARA, Rabu 6 Jan 2021 – Satu operasi serbuan perjudian telah berjaya dikendalikan hasil kolaborasi daripada keanggotaan Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat serta Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) pada 5 Januari 2021. 

Operasi yang dijalankan pada sekitar jam 10 malam tersebut berhasil menyerbu kegiatan perjudian katam-katam di ruang luar rumah kediaman di STKRJ Kg Mata-Mata, Katok B, Gadong. 

Seramai 10 orang individu berjaya ditahan semasa operasi berkenaan yang terdiri daripada 9 orang warganegara tempatan (seorang daripadanya anggota beruniform) manakala seorang lagi warganegara asing yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 62 tahun dipercayai sedang leka bermain perjudian tersebut.

Pihak Polis turut menemukan peralatan-peralatan perjudian yang diletakkan di atas sebuah meja kayu serta penemuan sejumlah wang tunai. Turut ditemukan buah dadu serta tempat penyimpanan (kong) perjudian. 

Semua tangkapan serta barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Akta Rumah Judi terbuka Penggal 28. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini. 

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI