BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis 31 Dis 2020 – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Membaca Surah Yaasin dan Doa Kesyukuran sempena Penubuhan 100 Tahun, Pasukan Polis Diraja Brunei Bagi Tahun 1442H/2020M yang berlangsung di Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Kg Kiarong. 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi ll , Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali beserta Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Pg Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pg Haji Abd Hamid. 

Hadir ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof – Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara, dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. 

Turut Hadir ialah Ahli Mesyuarat Negara, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Mantan-Mantan Pesuruhjaya Polis, para pengarah, pegawai kanan PPDB serta para jemputan khas termasuk mantan-mantan Pegawai Polis dan anggota serta pegawai-pegawai, anggota dan kakitangan awam PPDB. 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan disusuli dengan Sembahyang Sunat Hajat, bacaan Surah Yaasin dan majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran. 

Setiap tanggal 1 Januari merupakan tarikh yang sangat penting bagi warga Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam mengimbas kembali sejarah akan penubuhan pasukan secara resminya pada 1 Januari tahun 1921. 

Pada tahun ini, PPDB telah menjangkau usianya ke 100 tahun dan tema sambutan tahun ini ialah ‘100 Tahun Kepolisan; Menghormati Masa Dulu, Meraikan Masa Kini, Melindungi Masa Depan’.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI