LIMAU MANIS, Ahad 27 Dis 2020 – Pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan di kawasan Pos Kawalan Polis Bebuloh, Kg Wasan telah berhasil menemukan 15 kotak barang kiriman atau pun parcel mengandungi barangan tegahan yang cuba dibawa masuk ke negara ini secara tidak sah.
Kejadian tersebut terbongkar apabila anggota polis yang bertugas sedang membuat pemeriksaan rutin ke atas kenderaan-kenderaan yang melalui jalan berkenaan. Setelah menjalankan pemeriksaan terhadap bungkusan-bungkusan yang mencurigakan yang disimpan di kawasan tempat duduk penumpang seraya menemukan beberapa rokok elektrik atau Vape beserta peralatan-peralatannya.
Pemandu seorang lelaki serta penumpang seorang wanita, kedua-duanya warga tempatan segera ditahan dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan peralihan siasatan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB sentiasa berusaha dan tidak akan kendur-kendur dalam melaksanakan tanggungjawab yang dipikul serta menjalankan undang-undang yang diamanahkan negara bagi memastikan sebarang gejala-gejala yang negatif dan berunsurkan jenayah akan diambil tindakan dan menerima hukuman sewajarnya.
Pemantauan, risikan serta pengesanan terhadap kegiatan jenayah akan sentiasa dijalankan oleh keanggotaan PPDB dalam memastikan negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dan harmoni.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
