TEMBURONG, Isnin 21 Dis 2020 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya merampas sejumlah barang tegahan yang ditemui di kawasan Sungai Bantaian, Daerah Temburong.
Dalam kejadian tersebut, semasa keanggotaan Balai Polis Bangar membuat pemantauan pencegahan jenayah telah menemukan sebuah kereta yang mencurigakan diletakkan di kawasan penurunan perahu Kg. Menengah.
Apabila menyedari akan kehadiran peronda polis, kereta yang mencurigakan segera melarikan diri dengan berpusing dan mengubah haluan perjalanan menuju ke kawasan Kg Sungai Bantaian. Pemandu tersebut sempat keluar dari keretanya dan melarikan diri di kawasan hutan berdekatan.
Hasil pemeriksaan pihak polis ke atas kereta yang ditinggalkan telah menemukan barang-barang tegahan iaitu sejumlah 120 botol dan 240 tin minuman keras serta 39 karton rokok pelbagai jenis.
Kereta suspek beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan dan siasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru orang ramai agar menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah melalui talian kecemasan 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
