TEMBURONG, Sabtu 19 Dis 2020 – Sebuah kenderaan pacuan 4 roda ditahan Pihak Polis di kawasan KM 16 Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) kerana dipercayai ada membawa barang tegahan.
Kejadian tersebut berlaku pada 18 Disember 2020 sekitar jam 02.37 petang, bila mana maklumat risikan yang dikongsikan telah mengaktifkan keanggotaan Balai Polis Bangar untuk mengambil tindakan segera sehingga membawa kepada penahanan kenderaan tersebut.
Pemeriksaan kenderaan dijalankan dan telah menemukan sejumlah karton minuman keras disimpan dibahagian belakang bonet kenderaan yang ditutup dengan kain kanvas. Pemandu serta penumpang kemudian segera dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan awal.
Siasatan mendapati pemandu merupakan seorang lelaki warga negara tempatan berumur 37 tahun manakala penumpang ialah seorang lelaki penduduk tetap berumur 43 tahun disiasat mengenai penemuan sejumlah 30 karton iaitu 720 tin minuman keras pelbagai jenama yang tersimpan dalam kenderaan yang dipandu.
Kertas penyiasatan dibuka, kedua-dua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi penyiasatan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menyeru orang ramai untuk mengongsikan sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah ke talian kecemasan 993 atau manamana Balai Polis yang berdekatan ataupun menyalurkan maklumat berkenaan melalui emel ke laman sesawang PPDB www.police.gov.bn atau di platform media sosial Instagram @upa.ppdb.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
