Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis (PEKERTI) tahun ini telah mencapai usia ke-35 tahun sejak ia ditubuhkan pada 13 Disember 1985. Beberapa aktiviti-aktiviti telah dijalankan bagi meraikan sambutan penubuhan PEKERTI yang ke-35 tahun.
Acara kemuncak Sambutan Penubuhan PEKERTI ke-35 telah diadakan pada hari Ahad 13 Disember 2020 bertempat di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Tetamu kehormat adalah Yang Mulia Pengiran Datin Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Di Pertua PEKERTI. Turut hadir adalah pengerusi PEKERTI Yang Mulia Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abd Samad bersama jemputan khas yang terdiri daripada mantan-mantan Yang Di Pertua PEKERTI iaitu Yang Mulia Datin Hajah Rahmah binti Dato Paduka Haji Mohd Daud dan Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Sharifah binti Pengiran Haji Zaini. Seramai hampir 250 orang ahli-ahli PEKERTI hadir sama bagi meraikan acara tersebut.
Sempena Sambutan Penubuhan PEKERTI ke-35 tahun, Derma Anak Yatim PEKERTI secara online telah dilancarkan oleh Tetamu Kehormat yang bertujuan bagi memudahkan lagi ahli PEKERTI dan warga pasukan serta orang ramai untuk menghulurkan derma secara online melalui BIBD Online Apps. Penyerahan poster pelancaran Derma Anak Yatim PEKERTI secara online juga telah diserahkan kepada kesemua pengerusi-pengerusi cawangan. Instagram Khas PEKERTI juga telah dilancarkan bertujuan untuk mengongsikan maklumat dan aktiviti-aktiviti PEKERTI selain dari mengeratkan silaturahim antara ahli dan mantan-mantan ahli.
Antara aktiviti lain yang dijalankan adalah Majlis Sembahyang Berjemaah dan Khatam Al-Quran yang telah diadakan pada hari Sabtu, 12 Disember 2020 bersamaan dengan 26 Rabiulakhir 1442 bertempat di Rumah Aman (Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Polis). Seramai 100 orang ahli-ahli PEKERTI hadir turut serta semasa majlis tersebut.
Selain daripada itu, acara sukan iaitu Kejohanan Bowling Antara Cawangan telah diadakan pada 6 Disember 2020 lalu di Utama Bowling Centre. Acara tersebut melibatkan 10 ahli dari setiap cawangan dan juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI. Cawangan A telah memenangi kejohanan tersebut, diikuti dengan Cawangan E di tempat kedua dan Cawangan D di tempat yang ketiga. Manakala markah tertinggi telah dimenangi oleh APO 6476 Nur Hanani Adlina binti Abdul Rahman dari Cawangan A.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
