TEMBURONG, Selasa 1 Disember 2020 – Strategi pemantauan yang berterusan membuahkan hasil bilamana rondaan pencegahan jenayah keanggotaan Balai Polis Bangar berjaya mematahkan lagi penyeludupan barang-barang tegahan di dua (2) lokasi berasingan di Daerah Temburong pada 30 November 2020.
Rondaan yang dijalankan pada sekitar jam 9 malam di sepanjang Jalan Bangar hingga ke Jalan Labu itu telah mengenal pasti dua (2) buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Hasil daripada kumpulan maklumat berkenaan, keanggotaan balai segera diaktifkan untuk membuat sekatan jalanraya dengan segera di beberapa kawasan yang telah dikenal pasti.
Salah sebuah kenderaan yang mencurigakan berjaya ditahan bersama pemandunya yang merupakan seorang lelaki warganegara asing berumur 22 tahun. Manakala sebuah lagi kenderaan telah ditinggalkan tanpa pemandu di kawasan halaman rumah kediaman di Kg Lakiun. Kedua-dua buah kenderaan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan.
Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 47 katon rokok, 218 botol dan 672 tin minuman keras pelbagai jenama disimpan di bahagian bonet kereta di salah sebuah kenderaan tersebut manakala sebuah lagi kenderaan juga ditemukan peralatan bagi kegiatan penyalahgunaan dadah.
Kes ini diambil alih siasatannya dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya.
PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari masa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah terutama sekali barang tegahan yang dibawa masuk ke negara ini secara seludup.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara menyalahi undang-undang di negara ini agar dapat menyalurkan maklumat menerusi talian kecemasan polis 993.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
