BRUNEI MUARA, Isnin 30 November 2020 – Seorang lelaki telah ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana telah terlibat dengan perlakuan jenayah rosak barang yang boleh didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Hukuman Jenayah penggal 22. 

Suspek merupakan seorang warga tempatan berumur 51 tahun, tidak bekerja dan telah ditahan di kawasan Bandar Seri Begawan. 

Balai Polis Pusat BSB telah menerima laporan daripada seorang mangsa di mana pada 14 November 2020 sekitar waktu pagi telah meletakkan kereta mangsa di bahu jalan di kawasan Bangunan Pavo Bandar Seri Begawan. Kemudian, pada sekitar waktu petang, mangsa telah dimaklumkan oleh kawan mangsa bahawa kereta beliau terdapat kesan kerosakan di bahagian pintu depan sebelah kiri kereta.  

Hasil siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang individu yang tidak dikenali telah melakukan kerosakkan ke atas kereta mangsa dengan menendang di bahagian pintu kereta dan menghempas menggunakan besi penutup longkang.  

Kejadian ini turut tular di laman media sosial dan pihak Polis telah berjaya menahan suspek di kawasan Bandar Seri Begawan bagi siasatan lanjut. 

Pada 25 November 2020, Pasukan Polis Diraja Brunei telah menerima lagi laporan mengenai kejadian rosak barang ke atas kereta beberapa orang mangsa yang berlaku di kawasan Tamu Kianggeh, Bandar Seri Begawan.  

Kejadian ini turut tular di laman media sosial dan suspek telah berjaya ditahan oleh pihak Polis pada 28 November 2020 di kawasan Bandar Seri Begawan. 

Suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret BSB pada 30 November 2020 dan didakwa di bawah Seksyen 426 (melakukan kesalahan rosak barang) Kanun Hukuman Jenayah penggal 22.  

Pihak Mahkamah telah mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan Kesihatan Mental di Jabatan Psikiatri, Hospital RIPAS dan sebutan lanjut bagi kes ini akan berlangsung pada 7 Disember 2020. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI