GADONG, Khamis 5 November 2020 – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis [PEKERTI] telah mengadakan Majlis Dzikir Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam bagi Memperingati Pemimpin Umat Islam yang Dicintai bertempat di Dewan Taman Didikan Anak-Anak Polis Diraja Brunei, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Tetamu Kehormat di majlis ini ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Dipertua PEKERTI. 

Turut hadir pengerusi bersama majlis adalah Yang Mulia Hjh Salwana binti Haji Md Yassin selaku Pengerusi Cawangan A PEKERTI dan Yang Mulia Rokiah binti Joly/Julai selaku Timbalan Pengerusi Keugamaan, PEKERTI, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan Ahli-ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI. 

Seramai 90 orang ahli-ahli PEKERTI telah ikut serta dalam Majlis Dzikir Maulud Nabi S.A.W dari ketujuh-tujuh cawangan di bawah PEKERTI. 

Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah, Dikir Pembukaan ‘Assallai’, Tausyeh ‘Selawat Badar’, Dikir Penutup ‘Yaa Man Hadar’ dan disudahi dengan Doa Penutup yang mana diimamkan oleh Yang Mulia Ustazah Norerny binti Emran selaku Timbalan Pengurus Ugama bagi PEKERTI Cawangan A. 

Majlis ini adalah aktiviti tahunan bagi PEKERTI yang dikendalikan bersama oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Badan Ugama dengan Cawangan A, PEKERTI. 

Selain itu, ceramah juga diadakan yang mana ianya bertujuan untuk Memperingati Pemimpin Umat Islam yang dicintai iaitu Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam di samping meningkatkan hubungan silaturahim di antara semua ahli.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI