MUARA, Selasa 20 Oktober 2020 – Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei hari ini sekali lagi berjaya menggagalkan percubaan penyeludupan minuman keras semasa menjalankan rondaan rutin di zon Pulau Chermin.

Pada kira-kira jam 12.15  tengah  malam  semasa berlabuh di kawasan Pulau Berbunut, pihak polis terdengar bunyi enjin dan ternampak sebuah perahu yang mencurigakan melalui bawah jambatan SOAS menuju ke Sg Bunga, sebuah perahu kayu jenis penambang warna oren dan biru menggunakan enjin 85hp Yamaha bersama seorang penumpang.

Apabila menyedari keberadaan pihak polis, perahu tersebut terus menuju ke laut Pulau Pepatan. Polis mengejar dan mengarahkan perahu tersebut untuk berhenti tetapi perahu tersebut meneruskan perjalanan dan penumpangnya telah membuang beberapa kotak plastik dari dalam perahu ke dalam air sambil menuju ke kawasan Pangkalan Sibabau.

Polis terus menuju ke tempat mereka membuang kotak plastik dan mendapati ianya berisi berbagai jenis minuman keras yang membawa jumlah keseluruhan 120 tin “Tiger Beer” dan 26 botol minuman keras pelbagai jenama. Barang-barang tegahan dibawa ke Polis Marin dan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan lanjut.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI