BRUNEI DAN MUARA, Isnin 19 Oktober 2020 – Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berhasil melumpuhkan kegiatan perjudian SCR888 di sebuah rumah di kawasan Kampung Pandai Besi. 

Serbuan yang dijalankan telah berhasil menahan dua orang lelaki, seorang penduduk tetap berumur 40 tahun dan seorang warga tempatan berumur 25 tahun dan seorang perempuan warganegara tempatan berumur 24 tahun.   

Semasa siasatan dijalankan beberapa unit komputer dan komputer riba yang mengandungi program perjudian dipercayai digunakan untuk kegiatan SCR888 dirampas, turut dirampas ialah sejumlah wang tunai dan kamera litar tertutup (cctv) dipercayai digunakan untuk kegiatan tersebut.     

Semua tangkapan serta barang-barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4 kesalahan pengendalian tempat perjudian, Akta Rumah Judi terbuka Penggal 28.    

Kegiatan perjudian secara talian ini sentiasa mendapat perhatian umum dan jika tidak dibanteras akan mendatangkan kesan buruk kepada negara. Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI