BERIBI, Sabtu 17 Oktober 2020 – Bersempena menyambut hari kelahiran junjungan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (SAW) yang jatuh pada 12 Rabiulawal tahun hijrah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga tidak ketinggalan meraikannya dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul tersebut.

PPDB melalui Badan Ugama Islam (BUI) memulakan acara Maulidur Rasul dengan mengadakan majlis pembukaan Dikir Syarafil Anam selama 12 malam berturut-turut di Surau Polis Kawalan Diraja Beribi, bermula malam ini.

Hadir bagi sama-sama menyemarakkan majlis selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. Turut hadir ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis serta Pengarah-Pengarah Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan, Para Pegawai dan anggota PPDB.

Majlis Pembukaan Dikir Maulud dimulakan dengan solat fardhu Maghrib dan sembahyang sunat berjemaah dan diikuti dengan bacaan dikir dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar.

Majlis diselajurkan dengan bacaan doa selamat bagi pemergian perwakilan PPDB yang akan turut serta dalam kumpulan ke-17 bagi misi Pasukan Pemantauan Antarabangsa (International Monitoring Team – IMT) di Mindanao, Republik Filipina.

Majlis Doa Selamat berkenaan khas buat pasukan tersebut bagi mengiringi pemergian Penolong Penguasa Polis (ASP) Muhd Ismail bin Abdullah. Majlis diteruskan dengan bacaan Dikir Marhaban sebelum solat fardhu Isyak berjemaah dan diakhiri dengan doa selamat.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI