GADONG, Selasa 6 Oktober 2020 – Perkumpulan Kebajikan Isteri dan Keluarga Polis [PEKERTI] telah mengadakan Majlis Sembahyang Berjemaah, membaca Surah Yassin dan Do’a Kesyukuran bagi Sambutan Puja Usia KDYMM Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam bertempat di Surau Rumah Aman, Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Polis, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Tetamu Kehormat di majlis ini ialah Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Zauyah binti Pengiran Haji Sulaiman, Isteri Pesuruhjaya Polis selaku Yang Dipertua PEKERTI. Turut hadir ke majlis tersebut adalah Yang Mulia Datin Hajah Siti Shamsiah binti Haji Abd Samad selaku Pengerusi PEKERTI, Hajah Sarimah binti Haji Abd Rahman selaku Pengerusi Keugamaan PEKERTI,  Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi PEKERTI dan Ahli-Ahli dari ketujuh-tujuh cawangan PEKERTI.  

Seramai 120 orang ahli-ahli PEKERTI telah ikut serta dalam acara sembahyang berjemaah dari ketujuh-tujuh cawangan di bawah PEKERTI. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah, Solat Sunnat Hajat Khusus Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Bacaan Surah Yassin beramai-ramai dan Doa Kesyukuran diikuti dengan Sembahyang Fardhu Isyak berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia W/Lance Koperal 5621 Siti Aimi binti Ali Rahman.  

Majlis ini adalah salah satu aktiviti tahunan PEKERTI dan dikendalikan oleh Badan Keugamaan PEKERTI. Ianya adalah bertujuan untuk memperingati Puja Usia KDYMM Raja Isteri di samping meningkatkan hubungan silaturahim di antara semua ahli. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI