GADONG, Isnin 5 Oktober 2020 – Seramai 15 pegawai kanan yang mempunyai lebih dari 10 tahun pengalaman bertugas di pelbagai bidang di dalam Pasukan Polis Diraja Brunei akan mengikuti Program yang akan berjalan selama lima (05) minggu sepenuh masa; empat (04) minggu pembelajaran teori dan satu (01) minggu pembelajaran Experiential (luar).
Program ini adalah hasil kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei dan Universiti Teknologi Brunei yang di olah khusus mengikut kehendak dan keperluan Pasukan bagi pegawai-pegawai pengurusan pertengahan yang berupa pengetahuan lanjutan mengenai dasar dan urustadbir, kepimpinan dan pengurusan sumber tenaga manusia, pengurusan insiden bencana dan pengurusan media.
Objektif utama program ini adalah untuk menaiktaraf pengetahuan dan kemahiran dalam bidang yang khusus dan bersesuaian yang akan memandu para pegawai dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan lebih berkesan dan terarah bagi pegawai-pegawai yang berada di bahagian pengurusan pertengahan Pasukan. Program ini akan mencabar pegawai-pegawai yang mana mereka akan berhadapan serta diuji dengan tekanan-tekanan dan situasi di luar zon selesa masing-masing.
Di samping itu juga, pegawai-pegawai yang menyertai program ini juga akan diberi pendedahan lanjutan terhadap perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Program ini diselitkan juga dengan modul kepimpinan dan pengurusan menurut nilai-nilai kefahaman Islam.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail yang juga merasmikan majlis pembukaan program tersebut. Majlis diadakan pagi jam 9.30 pagi di Bilik Persidangan Setia Raja, Mess Pegawai Polis Gadong yang dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan tetamu kehormat majlis, doa selamat dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Di dalam ucapan beliau adalah menjadi harapan Pasukan terhadap pegawai-pegawai yang menyertai program ini akan dapat memberikan komitmen penuh dan mengambil peluang ini dalam memperbaiki dan mencabar diri dalam aspek-aspek yang diperlukan oleh Pasukan bagi persediaan mereka untuk menggalas tanggungjawab yang lebih berat dan mencabar di masa hadapan kelak.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
