KHAMIS, 1 Okt 2020 – Kerjasama erat antara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan masyarakat setempat melalui Program Pengawasan Kejiranan (PK) mampu mencegah serta meminimumkan kegiatan jenayah sekaligus menjamin keselamatan di negara ini.

TUTONG – Penglibatan aktif ahli PK bersama anggota Unit PK balai dapat meningkatkan komunikasi dan seterusnya meningkatkan penyampaian maklumat mengenai statistik jenayah melalui satu permuzakarahan yang diadakan bersama Penghulu Mukim Tanjong Maya/Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong, Yang Berhormat Haji Abd Wahab bin Apong.
Hadir semasa sesi permuzarahan tersebut pegawai-pegawai dan anggota balai Daerah Polis Tutong yang diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Pemangku Timbalan Penguasa Polis (Ag. DSP) Pengiran Abd Aziz bin Pengiran Haji Muhammad.
Di samping itu, usaha strategik pencegahan jenayah turut dilaksanakan menerusi rondaan yang dijalankan di empat tempat berasingan di negara ini.
BERAKAS – Ahli PK Kg Pancha Delima/Kg OKBI bersama focal point Balai Polis Berakas menjalankan rondaan pencegahan yang tertumpu di kawasan sekitar tadahan Kg Pancha Delima/Kg OKBI dan juga beberapa kawasan Kg Anggerek Desa/Kg Pulaie. Rondaan diketuai oleh Inspektor Polis (INSP) Hj Abu Bakar bin Hj Abd Rahman, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas dengan menggunakan kenderaan dan secara berjalan kaki yang berakhir tidak ada menemukan sebarang perkara yang mencurigakan berlaku.
MUARA – Bagi memantau kawasan persekitaran perumahan RPN Kg Meragang, focal point Balai Polis Muara yang diketuai oleh Inspektor Polis (INSP) Mohd Firnasrulillah Hj Abd Ghani, Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Muara bersama ahli PK RPN Kg Meragang meronda secara berjalan kaki serta membuat ‘Stop & Talk’ terhadap beberapa individu yang didapati berjalan disekitar kawasan perumahan.

Turut dijalankan rondaan di kawasan perkampungan Mentiri dan penurunan perahu Pengkalan Sibabau diketuai oleh Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hjh Nur Azhani Hj Johaiani, Pegawai Menguasa Balai Polis Muara bersama focal point dan keanggotaan balai serta ahli PK Kg Mentiri.
LABI – Manakala focal point Balai Polis Labi bersama ahli PK Rumah Panjang Teraja giat menjalankan rondaan di kawasan rumah penduduk kampung serta sekitar kawasan Kg Mendaram Besar yang diketuai Inspektor Polis Percubaan (P/INSP) Md Janatun Na’em bin Hj Abd Rahim, Pegawai Menguasa Balai Polis Labi.
Semasa rondaan dijalankan, konsep ‘Stop & Talk/Search’ juga dijalankan dan berakhir sekitar jam 3 pagi dengan tidak ada mendapati ataupun menjumpai kelakuan yang mencurigakan.
PPDB akan sentiasa mewujudkan jalinan kerjasama erat bersama masyarakat dalam usaha membantu untuk mengurangkan kadar jenayah serta masalah sosial dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
