ISNIN, 28 Sept 2020 – Kerjasama akan sentiasa dipertingkatkan dalam usaha Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) merangka strategi pengekangan dan pembenterasan kegiatan jenayah dengan perkongsian maklumat bersama masyarakat awam melalui Program Pengawasan Kejiranan (PK).
Ini terbukti melalui beberapa lawatan dan pendekatan yang dilaksanakan di beberapa balai-balai polis yang berasingan di negara ini.
BANDAR SERI BEGAWAN – Sesi permuzakarahan suku tahun pertama, kedua dan ketiga PK bagi Mukim Kota Batu telah berlangsung pada 23 September 2020 yang lalu. Sesi permuzakarahan tersebut dipengerusikan oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat BSB, Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Siti Munirah binti Pg Hj Damit dan Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat BSB, Inspektor Suhardi bin Hj Abdul Malik.
Muzakarah itu telah dihadiri oleh para Penghulu Mukim dan Ketua-ketua Kampung Mukim Kota Batu yang berlangsung di Dewan Mesyuarat, Pejabat Daerah Brunei dan Muara.
Agenda perbincangan menyentuh mengenai statistik tahun 2015 hingga 2020 menjurus kepada laporan-laporan jenayah dan lalulintas yang diterima di Balai Polis Pusat. Perjumpaan ini juga merupakan satu strategi Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam meningkatkan keyakinan dan kerjasama masyarakat awam dalam sama-sama membantu mencegah jenayah serta mewujudkan suasana yang lebih selamat di kalangan masyarakat dan persekitaran kampung.
LABI – Perkembangan serta informasi terkini perihal kegiatan jenayah di kawasan kampung telah dikongsikan sama oleh Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Labi, Inspektor Percubaan Mohammad Janatun Na’em bin Haji Abd Rahim bersama anggota balai bertempat di Rumah Panjang Teraja.
Pendekatan lawatan tersebut adalah untuk mengetahui apa jua permasalahan yang dihadapi oleh penduduk-penduduk yang tinggal di rumah panjang tersebut.
BANGAR – Satu perjumpaan lawatan telah diadakan bersama Pemangku Ketua Kampung Belingus yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Temburong, Penolong Penguasa Polis (ASP) Pg Anak Haji Azanuddin Aman Shah bin Pg Anak Ismail Al-Haj bersama ahli Focal Point PK Balai.
Diharap dengan pendekatan seperti ini akan dapat meningkatkan lagi kefahaman penduduk kampung dalam sama-sama menjaga keamanan dan keharmonian serta merapatkan hubungan silaturahim sesama penduduk setempat.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
