GADONG, Rabu 23 Sept 2020 – Dua (2) orang individu ditahan oleh keanggotaan Balai Polis Pusat, BSB hasil daripada perkongsian maklumat yang diterima daripada ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kg Menglait. 

Menurut maklumat yang diterima ianya merupakan kegiatan bunyi bising dipercayai terhasil daripada ketukan besi yang sangat mencurigakan. Maklumat segera dikongsikan bersama Unit PK Balai Polis Pusat bagi mengenal pasti punca bunyi bising tersebut. 

Tindakan segera dijalankan melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat bersama keanggotaan balai serta penglibatan ahli PK Kg Menglait sehingga membawa kepada penangkapan dua orang lelaki yang dipercayai sedang leka menggali dan memotong kabel bawah tanah di kawasan Kg Menglait. 

Dua orang suspek lelaki merupakan warganegara tempatan yang berumur 35 dan 39 tahun. Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat BSB untuk dijalankan siasatan lanjut.  

Turut dirampas ialah barang-barang bukti, beberapa batang kabel dan peralatan yang digunakan untuk memotong kabel berkenaan. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) amat menghargai usaha dan komitmen yang ditaburkan melalui perkongsian maklumat yang diberikan, terutama sekali daripada masyarakat awam dalam hasrat yang sama iaitu untuk menyaksikan negara ini selamat, harmoni dan bebas dari apa jua kegiatan-kegiatan jenayah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI