GADONG, Khamis 10 Sept 2020 – Pada menjunjung Titah Perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, seramai 21 orang pegawai daripada Pasukan Polis Diraja Brunei telah dinaikkan dan ditetapkan pangkat masing-masing yang berkuatkuasa bermula pada 15 Julai 2020. 

Sehubungan dengan itu, satu majlis bagi meraikan kenaikan pangkat pegawai-pegawai berkenaan telah berlangsung di Dewan Bankuet Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Gadong pada 10 September 2020. 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan majlis kenaikan pangkat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Turut hadir, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, pengarah-pengarah, timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan PPDB serta ahli keluarga anggota polis yang diraikan. 

Pegawai yang diraikan terdiri daripada sebelas (11) orang pegawai yang dinaikkan pangkat sebagai Penolong Penguasa Polis (Assistant Superintendent of Police), dua (2) orang pegawai dinaikkan pangkat sebagai Ketua Inspektor Polis (Chief Inspector of Police) dan lapan (8) orang pegawai dinaikkan pangkat sebagai Inspektor Kanan Polis (Senior Inspector of Police). 

Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI