GADONG, Rabu 9 Sept 2020 – Seramai 174 orang anggota pangkat rendah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) menerima Pingat Kerja Lama Polis (P.K.L.P) dalam satu majlis penyerahan yang berlangsung di Dewan Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei.
Turut hadir Yang Mulia ACP Haji Mohammed Fadzillah bin Haji Ismail, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan PPDB serta para penerima-penerima pingat.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong, APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar dan kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian pingat-pingat kepada para penerima yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei.

Penganugerahan pingat berkenaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada para penjawat awam yang berkhidmat selama 20 tahun.
Di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik, pengiktirafan ini juga dapat meningkatkan dan menyuntik motivasi para penerima untuk terus mencurahkan bakti pada kerajaan dan juga negara.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
