JUMAAT, 4 Sept 2020 – Program Pengawasan Kejiranan adalah satu usaha Pasukan Polis Diraja Brunei sebagai nadi penggerak mengeratkan ikatan ukhwah sesama masyarakat dalam sama-sama menjaga keamanan setempat.    

Dengan adanya rondaan pencegahan jenayah bersama ahli Pengawasan Kejiranan akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan masyarakat dalam memastikan keselamatan kawasan di kampung masing-masing bebas daripada jenayah.  

Antara yang giat menjalankan aktiviti tersebut adalah daripada ahli PK RPN STKRJ Tanah Jambu bersama keanggotaan Balai Polis Muara yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Hjh Nur Azhani bte Hj Johaiani. 

Manakala di Daerah Temburong, rondaan tertumpu di kawasan tempat penurunan feri Temburong dan Limbang yang disertai oleh Yang Mulia Hj Abdul Rahman bin Merusin, Penghulu Mukim Bangar dan ahli PK Kg Puni bersama Inspektor Muhd Ajib bin Hj Ahmad Awal, Pegawai Menguasa Balai Polis Temburong. 

Di samping itu, beberapa aktiviti pendekatan dikendalikan oleh Focal Point Balai Polis Berakas ke rumah kediaman Yang Mulia Awang Haji Omar Ali bin Haji Mohd Daud selaku Pmk. Ketua Kg Jaya Setia/Kg Jaya Bakti/Kg Burung Pinggai Berakas dan Yang Mulia Awang Haji Omar bin Haji Sapar selaku Pmk. Ketua Kg Kawasan 2 RPN Lambak Kanan, Mukim Berakas ‘B’ yang diketuai oleh Inspektor Haji Abu Bakar bin Haji Abd Rahman selaku Penolong Pegawai Menguasa Balai Polis Berakas. 

Perisian perbincangan mengupas hal ehwal keadaan kampung, perancangan aktivitiaktiviti PK serta perkongsian maklumat dan statistik jenayah yang telah dilaporkan berlaku di kampung tersebut. 

Kunjungan pendekatan ke Sekolah Ugama Pengiran Setia Negara Pengiran Muhd Yusof Seria dijalankan oleh Focal Point Balai Polis Seria yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis Percubaan (P/ASP) Syed Afidzul Azeez bin Sheikh Hj Abu Bakar. 

Objektif pendekatan ini menjurus kepada perbincangan permasalahan yang berlaku di sekolah-sekolah tersebut, mengenai keselamatan kawasan sekolah di samping mengeratkan silaturahim antara guru-guru dengan pihak Polis. 

Tidak ketinggalan juga pemantauan dari Focal Point Balai Polis Labi bersama Inspektor Percubaan (P/Insp) Md Janatun Na’em bin Hj Abd Rahim semasa penyerahan wang pencen dan kebajikan di kediaman Ketua Kg Labi II, Yang Mulia Haji Matussin bin Matzin bagi memastikan keselamatan hal ehwal penduduk kampung di kawasan tersebut. 

Sokongan berterusan daripada masyarakat adalah sangat diperlukan dalam membantu usaha sedemikian, demi merapatkan lagi hubungan silaturrahim dengan masyarakat dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI