TEMBURONG, Rabu 26 Ogos 2020 – Pada hari ini 26 Ogos 2020, keanggotaan Daerah Polis Temburong telah berjaya menemukan sejumlah 2040 katon rokok pelbagai jenama hasil daripada operasi pencegahan jenayah serta sekatan jalanraya yang dikendalikan di kawasan Jalan Labu, Temburong.

Daripada operasi yang dijalankan telah menemukan sebuah kenderaan jenis van yang mencurigakan diletakkan di kawasan berdekatan dengan pusing keliling Jalan Labu. Pihak Polis segera mendekati dan setelah membuat pemeriksaan telah mendapati van tersebut dipenuhi dengan barangan tegahan iaitu rokok pelbagai jenama. Turut ditemui semasa pemeriksaan ialah peralatan-peralatan yang dipercayai digunakan bagi penyalahgunaan dadah.
Hasil daripada pemeriksaan tersebut dua orang suspek lelaki warga tempatan yang berusia sekitar umur antara 27 hingga 37 tahun ditahan bagi siasatan lanjut.
Suspek beserta kenderaan dan barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Temburong dan peralihan siasatan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan lanjut.
Pasukan Polis Diraja Brunei akan meningkatkan dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap sebarang kesalahan di bawah akta-akta yang telah diperuntukkan dalam operasi pencegahan jenayah dan sekatan jalanraya bagi mengekang sebarang gejala aktiviti dan perlakuan jenayah di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
