GADONG, Rabu 26 Ogos 2020 – Badan Ugama Islam (BUI), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menganjurkan satu Forum Maal Hijrah bertempat di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong pagi tadi.   

Forum Maal Hijrah membawa tajuk `Islam Dan Pandemic Covid 19, Norma Baharu Dan Umat Islam’ diadakan bersempena sambutan Maal Hijrah 1442.   

Antara isi forum ialah memberikan kefahaman kepada warga pasukan mengenai kehidupan norma baharu sejajar dengan penghijrahan diri dalam mencari keredhaan Allah dalam menjalani tugasan seharian.   

Selain itu ianya dapat memberi pengajaran tentang bahawa Islam itu memberikan motivasi bahawa semua ujian yang Allah beri itu adalah sebagai tanda kasih sayang Allah kepada umatnya untuk mempertingkatkan lagi iman seseorang pada Allah S.W.T.   

Forum yang bermula pada jam 9.00 pagi itu telah dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat majlis.  

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Pegawai-Pegawai Kanan, Pegawai, anggota serta kakitangan awam dianggarkan seramai 120 orang hadir bagi menyemarakkan forum berkenaan. 

Dua ahli panel jemputan ialah Yang Mulia Dr Hambali bin Hj Jaili dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Ustazah Dayang Norhayati binti Haji Abd Rahman dari Pusat Dakwah Islamiah, Negara Brunei Darussalam bersama Pengerusi Forum, Yang Mulia APO Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.   

Sebelum itu, Majlis didahului dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Yang Mulia Lans Koperal 6114 Ahmad Zawawi bin Pengarah Haji Ibrahim, Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong dan seterusnya forum dimulakan diikuti dengan sesi soal jawab dan penyampaian cenderahati kepada ahli panel forum dan diakhiri dengan doa selamat.   

Dengan adanya program seperti ini diharapkan dapat memberikan percambahan ilmu dan pembuka minda kepada semua warga pasukan dalam menghadapi arus kehidupan yang ada pada ketika ini.  

Majlis sedemikian merupakan aktiviti tahunan yang diselenggarakan sepenuhnya oleh Badan Ugama Islam Pasukan Polis Diraja Brunei bertujuan untuk membesarkan hari-hari Kebesaran Islam dan juga sebagai platform dalam menyampaikan nasihat dan iktibar agar dapat menjamin kebahagian kehidupan dunia dan akhirat. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI