BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 19 Ogos 2020 – Sebuah bilik tempat tinggal pekerja asing digempur dan telah menyaksikan seramai 12 orang individu ditahan menerusi serbuan perjudian yang dijalankan pada 19 ogos 2020 sekitar jam 9.43 malam bertempat di kawasan bangunan Shakirin Kompleks Kg Kiulap. 

Serbuan dijalankan hasil kolaborasi di antara Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat beserta Unit Siasatan Pecah Rumah dan Curi Kereta, Jabatan Siasatan Jenayah Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan telah berjaya menahan kesemua kaki judi warga asing dan penduduk tetap yang berusia sekitar umur antara 36 hingga 66 tahun di mana 3 orang daripadanya merupakan suspek lelaki dan 9 orang suspek perempuan. 

Serbuan tersebut melibatkan permainan perjudian jenis daun terup pusoy (game 13 kad) serta penemuan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada permainan perjudian tersebut. 

Kesemua suspek dan barang-barang bukti dirampas dan dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah bagi dijalankan siasatan lanjut dan manakala kes berkenaan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

Kegiatan perjudian yang dikendalikan tidak akan menunjukkan impak positif terhadap pembangunan masyarakat bahkan lebih parah dan mendatangkan kesan negatif sekaligus menjadikan masyarakat mengamalkan nilai-nilai yang tidak baik dalam kehidupan seharian mereka.

Oleh itu, PPDB menegaskan kepada masyarakat awam bahawa mengendalikan kegiatan perjudian adalah ditegah sama sekali bahkan ianya menyalahi undang-undang. 

PPDB juga akan berterusan membuat pemantauan serta risikan bahkan mengambil tindakan sewajarnya kepada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI