BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 19 Ogos 2020 – Rondaan Pengawasan Kejiranan (PK) yang giat dijalankan bersama ahli PK Kg Belimbing dan Subok telah membuahkan hasil bila mana sebuah rumah yang mengendalikan aktiviti perjudian haram di kawasan Kg Belimbing berjaya digempur pada tengah malam 19 Ogos 2020. 

Sebelum itu, maklumat awal telah diperolehi sehingga mengaktifkan rondaan PK di kawasan berkenaan yang diketuai oleh Penolong Penguasa Polis (ASP) Dk Siti Munirah binti Pg Hj Damit beserta anggota Focal Point Balai Polis Pusat. Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kg Subok, YM Awg Lawi bin Hj Lamat dan Pemangku Ketua Kg Belimbing, YM Awg Daud bin Jihan dengan secara kebetulan singgah ke sebuah rumah seraya mendapati beberapa individu sedang leka bermain aktiviti perjudian.  

Pihak polis berjaya menahan tiga orang kaki judi yang berusia sekitar umur antara 20 hingga 40 tahun yang terdiri daripada warga tempatan. 

Aktiviti tersebut melibatkan permainan perjudian jenis daun terup dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil daripada perjudian haram turut dirampas. 

Kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Pusat BSB bagi dijalankan siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28. 

PPDB menegaskan kepada masyarakat awam bahawa mengendalikan kegiatan perjudian adalah ditegah sama sekali bahkan ianya menyalahi undang-undang. 

PPDB dengan kerjasama ahli Pengawasan Kejiranan akan berterusan komited menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan tadahan kampung masingmasing dan pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya kepada setiap kegiatan jenayah yang dilakukan di negara ini.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI