BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 5 Ogos 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar berwaspada dan berhati-hati jika menerima teks pesanan ringkas ‘short message services (SMS) daripada nombor telefon yang tidak dikenali dipercayai berunsur perjudian.
Taktik yang digunakan adalah dengan mengiklankan kegiatan perjudian melalui SMS bertujuan untuk mempelawa penerima SMS untuk menyertai serta membuat taruhan dengan sejumlah wang dan menyarankan untuk melayari pautan (link) dan nombor yang telah disediakan.
Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada laporan kerugian yang diterima pihak PPDB, Akan tetapi, pesanan ini adalah bertujuan untuk langkah pencegahan dan peringatan untuk orang awam supaya tidak menjadi mangsa penipuan atau scam SMS seperti ini.
PPDB juga menegaskan kepada orang ramai agar;
1 – Tidak menyewakan nombor talian persendirian untuk kegiatan perjudian atau berunsur jenayah.
2 – Jangan menyalahgunakan internet atau mana-mana platform media sosial bagi kegiatan jenayah.
3 – Jangan menyewakan atau memberikan akses akaun peribadi untuk kegiatan jenayah.
Sekali lagi PPDB ingin menasihatkan kepada orang awam agar tidak membalas kepada SMS itu. Janganlah memberikan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenal pasti, terutama apabila menerima SMS sedemikian.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
