GADONG, Isnin 3 Ogos 2020 – Suasana Ibadah Korban pada tahun ini pastinya amat berbeza berbanding tahun-tahun yang sudah dengan keadaan dunia yang menyerap norma baharu disebabkan oleh ujian virus pandemik COVID-19.
Walau bagaimanapun, Ibadah Korban di negara ini masih dapat diraikan dan diadakan dalam keadaan sederhana berpandukan peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Pihak Kerajaan.
Pada hari ini, satu majlis ibadah korban telah dikendalikan oleh Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) yang diadakan di kawasan luar Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Majlis dihadiri selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei yang juga turut menyerahkan daging-daging korban kepada para penerima.
Pada tahun ini juga seramai 44 orang telah ikut serta melaksanakan ibadah korban yang dikelola oleh Badan Ugama Islam PPDB melibatkan 6 ekor sapi dan 2 ekor kambing.
Daging-daging korban juga diagih-agihkan kepada asnaf fakir miskin yang berdaftar di kawasan Mukim Gadong.
Tidak ketinggalan bagi sama-sama meraikan ibadah korban ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pg Haji Abd Hamid, Timbalan Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, Pengarah-Pengarah, Ketua Formasi, Pegawai Pemerintah Daerah-Daerah Polis, Pegawai-Pegawai Kanan, Kakitangan Awam serta anggota PPDB.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
