MUARA, Jumaat 24 Julai 2020 – Sebanyak satu ribu seratus sepuluh (1110) katon barang tegahan Rokok pelbagai jenama telah berjaya dirampas hasil daripada rondaan rutin yang dikendalikan oleh anggota peronda sungai Polis Marin, Jabatan Gerakan Pasukan Polis Diraja Brunei.
Rondaan sungai yang dijalankan pada waktu pagi 24 Julai 2020 itu telah mengesan sebuah bot yang sarat dan mencurigakan sedang dalam perjalanan menuju ke kawasan Pulau Chermin. Sejurus menyedari kehadiran Polis Marin, bot tersebut terus memecut dan mengubah haluan bertujuan untuk melarikan diri.
Semasa insiden kejar mengejar, bot yang mencurigakan bertindak memecut lebih laju dengan membuang kotak-kotak dari bot berkenaan sehingga tidak dapat dikejar.
Pemeriksaan lanjut menemui kotak-kotak yang terapung itu merupakan barang-barang tegahan dan segera dipunggah dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Marin untuk dijalankan siasatan awal. Seterusnya kes ini diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus meningkatkan lagi rondaan dan pemantauan dalam menangani apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan penyeludupan dari masa ke semasa khususnya di kawasan perairan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
