GADONG, Rabu 22 Julai 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun di Surau Ibu Pejabat Polis, Gadong hari ini. 

Hadir pada majlis berkenaan selaku tetamu kehormat ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB. 

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abd Hamid, pengarah-pengarah jabatan, para pegawai kanan, pegawai, anggota dan kakitangan PPDB. 

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat yang diimamkan oleh Imam Surau Polis, APO Sarjan 6472 Mohammad Yusri bin Haji Abu Bakar diikuti dengan bacaan Surah Yaasin, Doa Kesyukuran dan diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah. 

Majlis bertujuan bagi melahirkan tanda kesyukuran di atas kepimpinan KDYMM dan seterusnya memanjatkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga KDYMM dilanjutkan usia, sihat walafiat dan kekal karar memerintah Negara dengan berlandaskan iman dan panduan dari Allah Subhanahu Wata’ala. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI