LAMUNIN, Isnin 20 Julai 2020 – Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima satu aduan mengenai seorang lelaki (mangsa) yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terbaring di tepi longkang di kawasan Jalan Piasan Lamunin, Daerah Tutong. 

Setelah siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati bahawa mangsa tersebut telah pun meninggal dunia dipercayai terjatuh dari basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. 

Siasatan lanjut menjelaskan di mana pada hari kejadian 19 Julai 2020, mangsa telah meninggalkan kumpulan rakan berbasikal untuk menuju pulang ke rumah masing-masing setelah selesai melakukan riadah berbasikal di kawasan tersebut. 

Setelah sampai di rumah masing-masing, rakan mangsa menerima makluman bahawa mangsa belum lagi pulang ke rumahnya. Pada 20 Julai 2020, rakan-rakan mangsa kemudian mengambil keputusan untuk membantu menjalankan pencarian dan telah menemui mangsa berada di kawasan Jalan Piasan Lamunin dalam keadaan tidak sedarkan diri berdekatan dengan basikal mangsa. 

Mangsa telah dibawa ke Hospital RIPAS untuk dijalankan pemeriksaan tubuh badan. Hasil daripada pemeriksaan, mendapati mangsa mengalami kecederaan patah tulang dibahagian rusuk dan tengkok dipercayai penyebab maut akibat daripada jatuh ketika menuruni bukit dengan laju. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menasihati kepada para penunggang basikal untuk lebih berhati-hati dan berwaspada semasa melakukan riadah berbasikal. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI