SENGKURONG, Ahad 12 Julai 2020 – Seorang lelaki warga emas maut selepas terlibat dengan kemalangan dua (2) buah kenderaan yang berlaku di Lebuhraya Tutong hala Muara, kawasan Kampong Lugu, Daerah Brunei Muara. 

Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan kemalangan tersebut melalui panggilan kecemasan yang telah diterima pada 12 Julai 2020 sekitar jam 3.35 pagi yang telah meragut nyawa seorang lelaki bernama Pek Chong Tong, warganegara tempatan berumur 68 tahun. 

Mangsa yang maut telah mendapat kecederaan yang serius dan telah disahkan meninggal di tempat kejadian oleh Paramedik bertugas. Mangsa maut dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (R.I.P.A.S) Bandar Seri Begawan bagi dijalankan bedah siasat untuk membantu siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian. 

Hasil pemeriksaan dan siasatan awal juga mendapati mangsa yang maut telah tidak ada menggunakan tali pinggang keledar keselamatan semasa kemalangan berlaku. 

PPDB ingin menegaskan dan menasihatkan kepada orang ramai agar tidak memandu jika dalam keadaan mengantuk, sentiasa awas dan peka dengan keadaan sekeliling, jangan bertindak pentingkan diri sendiri, tanamkan sikap bertolak ansur dan bertimbang rasa, tanggungjawab hendaklah ditanai bersama dalam menjaga keselamatan diri sendiri serta orang lain semasa memandu. 

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI