SUNGAI LIANG, Sabtu 11 Julai 2020 – Seramai 643 orang pekerja asing telah menjalani pemeriksaan mengejut hasil daripada operasi sepadu yang dijalankan oleh 4 agensi penguatkuasa undang-undang yang dikendalikan bersama oleh Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Operasi yang dianggotai seramai 98 orang tersebut diketuai oleh Penolong Pegawai Jenayah Daerah Polis Belait (A/DCO), Penolong Penguasa Polis (ASP) Dennie Adli bin Hj Sulaiman melibatkan keanggotaan Balai Polis Sungai Liang PPDB, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah mensasarkan ke satu lokasi rumah pekerja asing di Lilama SEA Quarters, Sg Liang.
Di sepanjang pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan beberapa kesalahan melibatkan akta-akta penguatkuasaan iaitu;
1- JIPK : 5 orang pekerja asing dikeluarkan pas khas (Special Pass) melibatkan 2 warga India dan 3 warga Bangladesh.
2- JKED : 12 orang pekerja asing dikeluarkan tindakan kompaun atas kesalahan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006 hasil daripada penemuan barang tegahan iaitu rokok.
3- BKN : Seorang warga Viet Nam ditahan bagi menjalani siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(B) dan Seksyen 7 MDA Penggal 27.
Agensi Penguatkuasa Undang-Undang akan sentiasa komited dan berterusan dalam menegakkan perundangan negara ini untuk memastikan Negara Brunei Darussalam sentiasa bersih daripada segala anasir-anasir negatif yang menyumbang kepada kejadian-kejadian jenayah.
Orang ramai juga diseru untuk sentiasa memberikan kerjasama yang padu dalam penyaluran dan perkongsian maklumat melalui talian-talian kecemasan pihak-pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
