BRUNEI MUARA, Jumaat 10 Julai 2020 – Di samping usaha meningkatkan penguatkuasaan terhadap akta kesalahan lalulintas, Jabatan Siasatan Kawalan dan Lalulintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) juga berperanan dalam menegakkan undang-undang yang berkaitan dengan perlakuan jenayah. 

Semalam, satu sekatan jalanraya telah dijalankan di kawasan Jalan Gadong dan telah berhasil membuat penahanan ke atas sebuah kenderaan bersama seorang pemandu dan seorang penumpang. 

Hasil daripada pemeriksaan keatas kenderaan berkenaan telah menemukan beberapa barangan tegahan seperti penemuan paket kecil dipercayai mengandungi dadah beserta peralatan-peralatan menghisap dadah. Turut ditemukan ialah alat-alat perkakas seperti besi-besian, tali serta sabit. 

Berikutan dan penahanan dan penemuan tersebut, pihak Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah dihubungi dan peralihan siasatan telah diserahkan kepada pihak BKN bagi tindakan selanjutnya.

Operasi sekatan sedemikian akan sentiasa dijalankan dan pertingkatkan dalam memberikan kesedaran akan kepentingan pematuhan undang-undang di negara ini yang berkaitan akta lalulintas ataupun pelanggaran kesalahan jenayah.

Dikeluarkan oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI