MUARA, Selasa 7 Julai 2020 – Kerjasama masyarakat dalam program pendekatan Pengawasan Kejiranan (PK) membantu mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada masyarakat setempat.
Dua pendekatan (PK) telah dijalankan dari Balai Polis Muara yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Muara, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Hjh Nur Azhani bte Hj Johaiani beserta keanggotaan PK Balai ke rumah Pemangku Ketua Kampung RPN Kg Mentiri Kawasan 2, Yang Mulia Hj Abd Mutalib bin Hj Momin dan ke rumah Pemangku Ketua Kampung Kapok, Yang Mulia Pg Hj Ibrahim Pg Hj Timbang.
Perisian perbincangan dalam program ini mengupas hal ehwal keadaan kampung, perancangan aktiviti-aktiviti PK serta berkongsi maklumat dan statistik jenayah yang telah dilaporkan berlaku di kampung tersebut.
SERIA – Beberapa kunjungan pendekatan dibuat oleh keanggotaan Balai Polis Seria yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Seria, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Syed Afidzul Azeez bin Sheikh Hj Abu Bakar ke Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Lorong 3, Seria, Sekolah Menengah Chung Ching dan Sekolah St. Margaret.

Objektif pendekatan ini menjurus kepada perbincangan permasalahan yang berlaku di sekolah-sekolah tersebut, mengenai keselamatan kawasan sekolah di samping mengeratkan silaturahim antara guru-guru dengan pihak Polis.
BELAIT – Dua sesi lawatan pendekatan juga telah dibuat oleh anggota PK daripada Balai Polis Belait yang diketuai oleh Pegawai Menguasa Balai Polis Kuala Belait, Penolong Penguasa Polis (P/ASP) Muhd. Ziyad bin Abd. Rahman bersama Penolong Menguasa Balai Polis Kuala Belait Inspektor Percubaan (P/INSP) Norfaiz bin Bakri ke rumah Pemangku Ketua Kampung Pandan C, Yang Mulia Awg Haji Affendy bin Haji Awg Damit dan Pemangku Ketua Kampung Pekan Belait, Yang Mulia Haji Pungut bin Ali.

Dengan hubungan kejiranan yang terjalin ini mewujudkan interaksi sosial yang sempurna dalam membentuk satu jaringan komuniti bagi sama-sama berganding bahu membantu mencegah dan membanteras kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan tadahan kampung masing-masing.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
