PANAGA, Selasa 16 Jun 2020 – Hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan, keanggotaan daripada Unit Detektif Ibu Pejabat Daerah Polis Belait dan Balai Polis Panaga, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu operasi mengejut terhadap satu kegiatan perjudian haram, semalam.
Serbuan yang dijalankan pada sekitar jam 8.45 malam tersebut mensasarkan sebuah rumah kediaman bertempat di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kg. Panaga, Seria.
Sudut ruang terbuka dibahagian dapur telah dijadikan tumpuan para pejudi untuk bermain permainan judi daun terup jenis ‘Sam Cheong’. Sejurus serbuan dijalankan, pihak polis telah berhasil membuat penahanan seramai 13 orang individu terdiri dari 9 orang lelaki dan 4 orang wanita dalam lingkungan umur 34 hingga ke 69 tahun.
Pihak Polis turut menemukan peralatan-peralatan permainan judi seperti daun terup dan wang taruhan. Kesemua suspek beserta barang rampasan dibawa ke Balai Polis Panaga bagi dijalankan siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka Penggal 28.



Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan mengesan penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini.
Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
