KIULAP, Selasa 16 Jun 2020 – Seorang wanita warganegara asing telah diberkas dalam satu serbuan pihak Polis dari Unit Penumpasan Perjudian dan Pencegahan Maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di sebuah hotel di kawasan Bandar Seri Begawan kerana dipercayai terlibat memberikan perkhidmatan seks.

Hasil pemeriksaan dalam bilik hotel berkenaan telah menemui beberapa kepingan kondom serta sejumlah wang tunai dipercayai disyaki terbabit dengan urusan kegiatan tidak bermoral.

Suspek merupakan seorang warganegara Viet Nam berumur 33 tahun dan telah berada di negara ini sejak awal Mac dengan menggunakan pas pelawat. Suspek dan kesemua barang bukti dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 294A Kesalahan Menawarkan Khidmat Seks, Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa membuat pemantauan dan seterusnya mengambil tindakan pada setiap kegiatan jenayah yang menyalahi undang-undang di negara ini.

Jika sesiapa mempunyai sebarang maklumat mengenai aktiviti berkenaan boleh melaporkan ke talian kecemasan Pasukan Polis Diraja Brunei 993 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI