BRUNEI MUARA, Sabtu 13 Jun 2020 – Kolaborasi sepadu di antara Polis Marin, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) membuahkan hasil bilamana telah berjaya mematahkan 2 percubaan kegiatan penyeludupan barangan tegahan di kawasan Perairan Menunggol Laut, Daerah Brunei Muara. 

Operasi sepadu yang diketuai oleh Polis Marin telah menemui 2 buah perahu yang mencurigakan cuba untuk memasuki perairan negara ini melalui kawasan perairan Kg Limpaku Pinang Malaysia. Insiden kejar mengejar telah berlaku dan 2 buah perahu tersebut telah ditemui terdampar di kawasan anak sungai tanpa pemandu. 2 buah perahu tersebut berjaya ditunda keluar oleh pihak JKED dan menyerahkannya ke Pihak Polis. 

Pemeriksaan telah dijalankan dan tmendapati barangan tegahan sejumlah 420 katon rokok pelbagai jenama, 24 botol minuman keras serta 25 kotak sayap ayam mentah. Kesemua barangan rampasan diserahkan ke pihak JKED bagi siasatan lanjut. 

Agensi-agensi penguatkuasa akan sentiasa membuat pemantauan, menjejak dan seterusnya membanteras kegiatan mahupun penjenayah-penjenayah yang hendak bertapak dan menjalankan aktiviti-aktiviti haram di negara ini. 

Kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI