BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 30 Mei – Seorang lelaki tempatan Hasmyzan Hamzi bin Haji Hashimi 33 tahun tidak bekerja telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada hari ini setelah ditahan reman sejak 14 Mei 2020 yang lalu.

Siasatan terhadap tertuduh melibatkan empat (4) laporan yang telah diterima di Balai Polis Kuala Belait, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berkaitan kes curi yang berlaku di kawasan Kuala Belait. 

Penahanan tertuduh adalah hasil daripada rondaan pencegahan jenayah yang telah dijalankan oleh keanggotaan Balai Polis Kuala Belait ke atas penemuan sebuah kenderaan yang ditinggalkan dalam keadaan yang mencurigakan. Semasa pemantauan dijalankan, tertuduh telah ditemui sedang menuju ke kenderaan tersebut dan Pihak Polis seterusnya menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut terhadapnya. 

Pada hari ini, 30 Mei 2020 tertuduh dibacakan 4 pertuduhan yang melibatkan 2 laporan kes kehilangan sebuah kereta Kijang dan bateri kereta. Manakala 2 kes lagi berkaitan dengan perilaku ceroboh di bawah Seksyen 457 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Hasil daripada perbicaraan, tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama enam (6) tahun penjara beserta empat (4) kali sebatan di Penjara Maraburong bermula 28 Mei 2020.   

Sebagai usaha untuk mencegah berlakunya aktiviti jenayah, orang ramai disarankan untuk memastikan supaya berhati-hati apabila meninggalkan rumah bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku seperti kecurian dan kebakaran. 

Di samping meningkatkan lagi langkah-langkah keselamatan terutama semasa hendak meninggalkan rumah. Pagar, pintu dan jendela rumah hendaklah sentiasa dipastikan tertutup dan berkunci dengan kunci yang kukuh serta tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah yang boleh menjadi daya tarikan kepada penjenayah. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI