LIMAU MANIS, Jumaat 29 Mei 2020 – Sebelas (11) karton rokok pelbagai jenama berjaya ditemukan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa rondaan tugas operasi sepadu COVID-19 bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang dijalankan di Simpang 2302 Kg Junjongan, Limau Manis. 

Dalam kejadian sekitar jam 9.45 pagi itu, keanggotaan PPDB dan ABDB telah menemukan satu bekas guni dalam keadaan mencurigakan diletakkan di kawasan semak persekitaran kebun. Semasa pemeriksaan dijalankan telah mendapati sejumlah barangan tegahan didalamnya berupa rokok beserta satu beg galas tanpa pemilik. 

Kesemua barang rampasan ditahan dan dibawa ke Balai Polis Limau Manis untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). 

PPDB akan terus memerangi jenayah rentas sempadan dan aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang serta tiada kompromi dalam soal jenayah di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI