BRUNEI MUARA, Selasa 26 Mei 2020 – Dua (2) kes kemalangan yang berasingan melibatkan kematian telah berlaku di sepanjang awal bulan Syawal ini.
Bagi kejadian pertama pada 23 Mei 2020 sekitar jam 06.27 petang itu berlaku di kawasan KM 28.2, Lebuhraya Lumut/Belait hala ke Belait yang telah meragut nyawa seorang perempuan penduduk tetap berumur 26 tahun.
Melalui siasatan awal Pihak Polis mendapati mangsa maut telah membuat perjalanan dari Bandar Seri Begawan ke Kuala Belait bersama dua (2) orang penumpang berumur tiga (3) dan empat (4) tahun.
Siasatan di tempat kejadian dipercayai mangsa maut telah gagal dan hilang kawalan terhadap kenderaan yang dipandu lalu telah melanggar sebatang pokok kemudian terhumban keluar.
Mangsa maut telah disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait dan punca kematian disebabkan oleh beberapa kecederaan yang teruk di kawasan kepala dan dada mangsa. Walau bagaimanapun, penumpang-penumpang telah terselamat dan hanya mendapat kecederaan.
Manakala kejadian kedua (2) melibatkan kemalangan dua (2) buah kenderaan berlaku pada 25 Mei 2020 sekitar jam 09.39 malam di kawasan Kampong Kulapis, Daerah Brunei Muara.
Mangsa maut adalah seorang lelaki warga Indonesia berumur 39 tahun dipercayai telah memandu lalu terbabas di bahu jalan ketikamana kenderaan yang dipandu telah bertembung dengan kenderaan yang lain yang bertentangan hala.
Mangsa segera dikejarkan ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan telah disahkan meninggal dunia oleh doktor petugas.
Siasatan awal Pihak Polis mendapati mangsa maut tidak ada menggunakan tali pinggang keselamatan semasa kemalangan berlaku.
Punca kejadian kedua-dua kes kemalangan masih dalam siasatan.
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menegaskan kepada para pemandu dan pengguna jalanraya agar sentiasa peka dengan had kelajuan kenderaan yang dipandu dan sentiasa menumpukan perhatian sepenuhnya dijalanraya dan kawasan persekitaran.
Turut disarankan adalah supaya semua pengguna-pengguna jalanraya untuk mengambil perhatian dan kepentingan pemakaian tali pinggang keselamatan kerana ianya bertujuan untuk mengurangkan impak sebarang hentakan serta perkara yang tidak diingini jika terlibat dengan sebarang kemalangan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
