BRUNEI MUARA, Jumaat 22 Mei 2020 – Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama daripada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah melaksanakan Operasi Sepadu Sekatan Jalanraya pada 22 Mei 2020. 

Operasi yang dijalankan di kawasan Jalan Utama Mentiri hala Lebuhraya Muara Tutong diketuai oleh Ketua Unit Penguatkuasa JSKLL, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Ang Lay Bee. 

Sekatan Jalanraya yang bermula pada sekitar jam 9 malam tersebut telah melibatkan seramai 62 pegawai dan anggota dari kesemua agensi penguatkuasa undang-undang dan telah merekodkan sebanyak 55 kes secara keseluruhan berdasarkan pelanggaran di bawah akta penguatkuasaan masing-masing. 

JSKLL : 50 Kes Kompaun dan 3 kes Doket 

BKN : 2 Kes  

Antara lain tujuan operasi adalah bagi meningkatkan disiplin masyarakat mengenai perundangan serta meningkatkan kepercayaan masyarakat secara positif terhadap agensi penguatkuasa undang-undang dalam melaksanakan tugasan untuk samasama mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara. 

Di samping itu juga, dalam kesibukan membuat persiapan bagi menyambut bulan Syawal yang akan tiba, pihak PPDB ingin mengingatkan pengguna jalanraya agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila menggunakan jalanraya, sentiasa beringat untuk mengutamakan keselamatan pada setiap masa agar tidak lalai dan memberi tumpuan ketika memandu kenderaan bagi mengelakkan terjadinya kemalangan jalan raya.  

Di kesempatan ini PPDB khususnya JSKLL serta agensi penguatkuasa undang-undang yang lain ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada rakyat Brunei dan amalkanlah kebersihan diri sendiri dan keluarga, lebih-lebih lagi dalam susana negara berusaha membanteras dan mengawal wabak pandemik COVID-19 ini.

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI