LIMAU MANIS, Selasa 19 Mei 2020 –  Sejumlah bungkusan barangan tegahan telah dirampas oleh keanggotaan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa rondaan yang dijalankan bersama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melalui Operasi Sepadu COVID-19 di Simpang 2302 Kg Junjongan, Limau Manis. 

Hasil daripada Operasi yang dijalankan telah berhasil menemukan sebuah kenderaan yang mencurigakan ditinggalkan tanpa pemandu beserta 9 bungkusan yang dipercayai berisi beberapa kotak kopi jenama Brazilian Pronto 3 in 1 yang tersenarai bagi penarikan balik produk makanan yang dicemari bahan terkawal di bawah Peraturan-Peraturan Kesihatan Awam (Makanan) (P1 Penggal 182). 

Semasa menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut telah menemukan 2 bungkusan yang tersimpan di dalam kereta dan selebihnya berselerak di kawasan kebun yang cuba diseludup masuk melalui jalan tikus. 

Barang-barang tegahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Limau Manis dan peralihan siasatan akan diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED). 

PPDB melalui Pasukan Simpanan Polis C Kompeni akan sentiasa menjalankan operasi dan rondaan di kawasan-kawasan sempadan negara ini dalam usaha menangani jenayah-jenayah rentas sempadan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI