BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 16 Mei 2020 – Balai Polis Sengkurong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menghadapkan seorang perempuan warganegara Indonesia ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan atas kesalahan pekerja mengambil harta milik majikan. 

Suspek bekerja sebagai pembantu rumah bernama Rostini binti Moksin berumur 23 tahun menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 381 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22. 

Berikutan perolehan maklumat yang diterima, suspek dipercayai mengambil duit majikannya sebanyak $1,200 yang tercicir di atas lantai rumah mangsa. Suspek tidak menyerahkan kembali wang tersebut dan menyembunyikannya daripada majikannya. 

Hasil daripada perbicaraan, tertuduh telah mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara selama 6 bulan di Penjara Jerudong bermula 14 Mei 2020. 

PPDB ingin menasihati orang ramai agar menghindari daripada melakukan perbuatan curang dan khianat serta tidak terdorong dalam menyalahgunakan harta milik orang lain yang telah diamanahkan dalam menjalankan tugasan. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI