BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 16 Mei 2020 – Seorang warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes curi 2 bateri jentera berat telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan hari ini.  

Suspek bernama Muhammad Mui’nuddin Ahnaf bin Mohammad Jita, berumur 26 tahun dan tidak bekerja ditahan bagi dijalankan siasatan terhadap aduan kes kehilangan bateri jentera berat yang diletakkan di kawasan Lebuhraya Muara Tutong pada 12 Mei 2020 yang lalu. 

Hasil siasatan juga mendapati suspek juga pernah melakukan jenayah curi terhadap beberapa bateri kenderaan dan jentera berat di 3 tempat berasingan sebelumnya. Kemudian hasil daripada penjualan bateri itu telah digunakan untuk membeli barang keperluan anaknya.  

Di atas perlakuan tersebut, suspek disiasat di bawah Seksyen 379  Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 iaitu curi dan telah dijatuhkan hukuman pemenjaraan selama 9 bulan di Penjara Maraburong.   

PPDB ingin menyarankan kepada syarikat-syarikat yang memiliki jentera berat agar membuat pengawasan dan pencegahan bagi memastikan kenderaan / jentera tidak terdedah dan menjadi mangsa kepada jenayah-jenayah seperti curi. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI