BRUNEI MUARA, Khamis 14 Mei 2020 – Platform media sosial dihebohkan dengan satu rakaman video yang tular mengenai perlakuan curi barangan jualan di sebuah kedai runcit di kawasan Kg Katok.
Rakaman video yang yang berdurasi sekitar 33 saat itu memaparkan perlakuan 2 orang individu telah keluar dari sebuah kereta lalu mengambil barangan jualan yang diletakkan di luar sebuah kedai yang masih tutup.
Ekoran daripada video yang tular, Balai Polis Pusat, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dikerah bagi menjalankan siasatan sehingga berhasil menemukan dalang kepada kejadian berkenaan.
Kertas penyiasatan telah pun dibuka bagi menjalankan siasatan terhadap penglibatan tiga (3) orang suspek warga tempatan yang dipercayai melakukan perbuatan curi di kedai runcit berkenaan.
Suspek pertama bernama Khairul bin Haji Kula 38 tahun, suspek kedua bernama Aizuddin bin Asman berumur 19 tahun, manakala suspek ketiga seorang wanita bernama Siti Fatimah bte Haji Mohd Salleh berumur 34 tahun dan kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan.
Hasil siasatan yang dijalankan mendapati semasa insiden berlaku, suspek pertama memandu sebuah kenderaan dan berhenti di sebuah kedai runcit di kawasan Kg Katok. Sejurus selepas itu, suspek kedua turun dan mengambil satu bekas tempat penyimpanan minuman berwarna merah manakala suspek ketiga mengambil satu bekas jenis plastik berisi makanan lalu meninggalkan tempat berkenaan.

Kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada hari ini 14 Mei 2020 bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 dibacakan dengan Seksyen 34 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
Daripada sebutan kes yang dihadapkan, Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh pertama dan kedua dengan dikenakan hukuman denda sebanyak $1,500 dan dikehendaki membayar sebanyak $25 kepada mangsa sebagai ganti rugi. Jika gagal membayar denda, kedua-duanya akan di penjara selama 4 minggu di Penjara Maraburong bermula 14 Mei 2020.
Manakala tertuduh ketiga dilepaskan setelah membayar denda sebanyak $1,500.
PPDB menasihatkan kepada masyarakat awam agar tidak terjerumus dengan kancah tabiat negatif seperti kegiatan curi kerana implikasinya akan membebankan diri sendiri, mengorbankan masa hadapan, hilang kepercayaan dan timbul persepsi buruk yang akan kekal selamanya.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
