LAMUNIN, Sabtu 9 Mei 2020 – Perbuatan seorang perempuan telah mengundang padah disebabkan perilakunya mengambil kesempatan mengambil barang kemas ahli keluarga.
Berikutan aduan tersebut, Balai Polis Lamunin, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan ke atas kehilangan satu utas rantai bersama buah loket yang dimiliki oleh seorang warga emas berumur 72 tahun.
Insiden terbongkar bila mana suspek dipercayai telah melucutkan barang kemas daripada leher mangsa tanpa disedarinya dengan alasan iaitu membuang seekor haiwan (lintah) daripada leher mangsa.
Sejurus selesai, suspek dipercayai telah mengambil barang kemas tersebut yang diletakkan di atas meja berhampiran dan meninggalkan rumah mangsa.
Siasatan telah dijalankan dan mendapati suspek telah menggadaikan barang kemas tersebut di kedai pajak emas dengan harga sejumlah $2,000. Barang kemas tersebut berjaya ditemui semula dan dirampas bagi dijadikan bahan bukti.


Suspek seorang warga tempatan bernama Pg Noremywaty @ Pg Siti Norameerah bte Pg Haji Sahidon berumur 37 tahun dan bekerja dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan pada hari ini bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 379 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 Curi dan di bawah Seksyen 3(1)(b) Perintah Mendapatkan Aset Jenayah, 2012.
Hasil daripada sebutan kes, tertuduh telah mengaku bersalah dan Pihak Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan di Penjara Jerudong bermula pada 9 Mei 2020.
PPDB sentiasa mengingati kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati meletakkan barang-barang kemas yang berharga dan sentiasa disimpan dalam keadaan selamat dan mengelakkan daripada kehilangan dan berlakunya kes curi.
Sehubungan dengan perkara ini, PPDB menyeru kepada orang ramai agar sentiasa memberikan kerjasama ataupun tampil kemana-mana Balai Polis untuk mengongsikan sebarang maklumat yang berhubung kait dengan sebarang kegiatan jenayah.
Dengan penyaluran maklumat tersebut akan memberi kesan impak yang tinggi dalam penurunan kadar jenayah dan sekaligus dapat mengesan apa jua pergerakan kegiatan jenayah.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
