LIMAU MANIS, Jumaat 27 Mac 2020 – Seramai dua (2) orang individu telah dibawa ke Balai Polis Limau Manis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bagi dijalankan siasatan dipercayai terlibat dengan kesalahan memasuki negara ini dengan tidak sah melalui Jalan Tikus di kawasan Kg Junjongan, Daerah Brunei Muara.
Dalam Insiden pertama, seorang lelaki warganegara tempatan bernama Awangku Mohammad Azri bin Pengiran Suhaimi berumur 34 tahun telah ditahan selepas dijalankan siasatan lanjut oleh Pihak Polis kerana telah dipercayai terlibat keluar masuk secara tidak sah ke negara ini melalui Jalan Tikus, di kawasan Kg Junjongan.
Manakala insiden kedua, penemuan seorang lelaki penduduk tetap oleh keanggotaan Pasukan Simpanan Polis C Kompeni bernama Aris @ Rais bin Tuah berumur 66 tahun ditemui sedang menaiki sebuah motorsikal dipercayai keluar dan masuk ke negara ini dengan tidak sah melalui Jalan Tikus, Kg Junjongan.
Kedua-dua suspek tersebut dijalankan siasatan awal dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi menjalani siasatan dan tindakan lanjutan.
Walaupun dalam keadaan situasi negara menjalankan pengawalan menangani penularan wabak COVID-19 ini, anggota-anggota keselamatan sentiasa teguh dalam barisan membuat kawalan rapi dikawasan sempadan bagi memastikan tidak ada sebarang pencerobohan berlaku mahu pun penyeludupan barang-barang tegahan dibawa masuk ke negara ini.
Komitmen yang tinggi sentiasa diterapkan bagi memastikan negara ini bebas daripada sebarang anasir-anasir negatif dan juga kegiatan-kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
