GADONG, Selasa 3 Mac 2020 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Badan Ugama Islam (BUI) PPDB telah mengadakan satu Majlis Pengislaman bagi meraikan saudara baru iaitu Awang Nickson @ Tong Kua Ang anak kepada seorang anggota PPDB yang telah berlangsung di Surau, Ibu Pejabat Polis Gadong.
Majlis dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid serta Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Awang Abd. Aziz bin Haji Abd. Kahar.
Terdahulu, acara dimulakan dengan Sembahyang Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis Gadong dan diteruskan dengan Majlis Pengislaman yang dikendalikan oleh pegawai daripada PDI.
Awang Nickson @ Tong Kua Ang kini dikenali dengan nama islamnya Mohammad Nur Aqil bin Abdul Hadi Tong dengan melafazkan dua kalimah syahadah dan berhasrat untuk mendalami lagi ugama islam selaku pegangan hidup beliau.

Penyampaian cenderahati disampaikan oleh tetamu kehormat dan diraikan dengan Dikir Marhaban. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Majlis turut dihadiri oleh para Pengarah-pengarah, Timbalan-timbalan Pengarah, Ketua-ketua Formasi Polis, pegawai-pegawai PPDB dan PDI serta ahli-ahli keluarga saudara baru yang diraikan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI
