MUARA, Selasa 3 Mac 2020 – Berdasarkan maklumat yang diterima menerusi laman media sosial telah menemukan satu (1) pengguna akaun Facebook yang didapati telah memuat naik dua (2) gambar yang memaparkan beberapa butiran dipercayai menyerupai peluru. 

Sejurus menerima maklumat tersebut, keanggotaan Balai Polis Muara, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan siasatan serta pemeriksaan secara langsung terhadap sebuah rumah kediaman di kawasan RPN Kg Panchor Mengkubau dan telah berhasil menemui satu kotak kecil yang berisi dipercayai peluru. 

Berikutan penemuan tersebut, pihak polis telah menahan dua (2) orang suspek iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan dan siasatan diambil alih oleh Unit Siasatan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah bagi siasatan lanjut. 

PPDB menegaskan kepada orang ramai adalah menjadi satu kesalahan yang berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam bagi mana-mana individu memiliki, menyimpan atau mengawal apa-apa senjata api atau peluru (termasuk kelongsong atau mana-mana bahagian daripadanya) dan sesiapa yang bersubahat dengan individu yang memiliki senjata api mahupun peluru secara haram juga akan dikenakan hukuman yang sama. 

Sekiranya anda menjumpai sebarang senjata api atau peluru adalah dinasihatkan supaya menghubungi talian kecemasan polis 993 atau Balai-Balai Polis yang berhampiran untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan insiden yang mungkin boleh memudaratkan keselamatan diri. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​